Sunday, January 1, 2012

Kata-kata Aluan Ketua Sektor


Assalamu'alaikum wr. wb'.
Salam 1 Malaysia
Salam Melaka Maju Negeriku Sayang
Negeri Bandar Teknologi Hijau

Selamat Tahun Baru 1433 Hijrah dan Tahun Masihi 2012!
Alhamdulillah, marilah kita bersyukur kerana masih diberi peluang bernafas dan menikmati hidup pada tahun baru ini. Saya menaruh harapan semua rakyat Melaka dan Malaysia sihat sejahtera dan mengekalkan budaya hidup bersatupadu dan saling hormat menghormati.

Saya ingin mengajak anda semua mendoakan kedua-dua ibubapa masing-masing baik yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia. Kedua-dua ibubapa telah bertanggungjawab mendidik dan membimbing kita hingga menjadi manusia yang berguna dan bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara. Kita juga harus mendoakan para guru yang telah mendidik kita di masa alam persekolahan hingga boleh membaca, mengira dan menulis serta boleh berfikir dan menyumbang tenaga bakti kepada komuniti.

Walau apa jua kerjaya anda, saya pasti anda mempunyai wawasan sempena Tahun Baru ini. Hanya dengan wawasan, kita akan berasa seronok hidup dan merasakan hidup kita amat bermakna. Sektor Psikologi dan Kaunseling di Jabatan Pelajaran Melaka akan berusaha secara istiqamah dan lestari untuk membantu menjayakan visi memperbanyakkan sekolah unggul yang menjana modal insan. Saya mengalu-alukan semua pihak termasuk Kerajaan Negeri Melaka, Jabatan Pelajaran Melaka, Pegawai Pelajaran Daerah dan sekolah menyokong menjayakan program kami.

Untuk menghasilkan modal insan cemerlang, para ibubapa dan pemimpin tempatan harus berganding bahu dengan pegawai pelajaran, guru-guru dan staf sokongan di agensi pendidikan bagi membimbing jati diri pelajar. Teruskan usaha membantu Kerajaan Negeri Melaka menghasilkan pelajar yang cemerlang akademik, kokurikulum dan sahsiah.

Selamat Maju Jaya!

Salam hormat dari saya;

MOHAMAD ISA BIN JOLAN
KS Psikologi dan Kaunseling

No comments:

Post a Comment